
My Safe Road dilancarkan sebagai inisiatif berfokuskan keselamatan infrastruktur jalan raya dengan matlamat mengurangkan kematian dan kecederaan parah. Berlandaskan Pendekatan Sistem Selamat (SSA), program ini mengutamakan tindakan proaktif yang mempertimbangkan keselamatan semua pengguna jalan, termasuk penunggang motosikal, dengan sasaran mengurangkan risiko akibat kesilapan manusia.
Melalui kaedah seperti pengumpulan data, penilaian risiko, penarafan jalan, penguatkuasaan dan pendidikan, My Safe Road mengenal pasti kawasan berisiko tinggi secara sistematik – bukan hanya lokasi ‘blackspot’. Pendekatan ini yang akan melibatkan kerjasama MKJR, PBT dan agensi teknikal akan membolehkan intervensi yang lebih bersasar dan berasaskan bukti di peringkat daerah.
Komuniti tempatan memainkan peranan utama dalam menjayakan inisiatif ini. Mereka digalakkan untuk memimpin pelaksanaan, membuat keputusan berasaskan data, dan memastikan tindakan yang diambil benar-benar relevan. Hasil yang disasarkan termasuklah komuniti yang lebih berdaya, jalan lebih selamat, dan peluasan program ke daerah lain.